23 Feb 2017

TIP SERONOK BELAJAR DI DALAM KELAS


Hai semua!  Tahukah anda salah satu resepi kejayaan pelajar cemerlang ialah seronok belajar di dalam kelas? Jadi bagaimanakah caranya untuk kita mewujudkan rasa seronok untuk belajar di dalam kelas? Kali ini kami akan berkongsi dengan anda semua beberapa tip seperti berikut:-


1.  Tempat duduk yang sesuai.


Pada awal sesi persekolahan ini, pelajar-pelajar berusahalah untuk mendapat tempat duduk di dalam kelas yang berhampiran dengan guru semasa pembelajaran.  Contohnya, duduk di barisan hadapan.


2.  Berkenalan


Tanamkan dalam diri anda semua bahawa rakan-rakan sekelas adalah seperti adik beradik sendiri.  Oleh itu, berkenalanlah dengan rakan-rakan sekelas.  Melalui cara ini, perasaan saling mempercayai akan timbul dalam diri anda.  Selain itu, anda juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat untuk berjaya.


3.  Hubungan baik dengan guru.


Guru merupakan individu yang bertanggungjawab untuk membimbing pelajar-pelajar untuk belajar. Oleh itu, binalah hubungan yang baik dengan guru supaya segala ilmu yang dicurahlan akan diberkati.


4.  Pendengar yang baik.


Pelajar-pelajar perlu menguasai kemahiran mendengar.  Apabila para pelajar menjadi pendengar yang baik pelajar-pelajar akan dapat memahami pelajaran yang guru sampaikan dengan berkesan.  Hal ini akan memudahkan pelajar-pelajar mengingati pelajaran tersebut. 


5.  Tidak malu bertanya


Jika terdapat sebarang persoalan yang timbul sewaktu guru mengajar, terus ajukan soalan tersebut kepada guru.  Mungkin persoalan itu akan menjadi soalan peperiksaan nanti.  Oleh itu, jangan malu untuk bertanya.


6.  Mengeluarkan pendapat.


Jika terdapat sebarang persoalan yang timbul sewaktu guru mengajar, jangan malu atau segan untuk mengeluarkan pendapat anda.  Pendapat anda tersebut mungkin dapat dikongsikan bersama-sama rakan sekelas.


7.  Melibatkan diri dengan aktiviti kelas.


Pembelajaran di kelas akan lebih seronok sekiranya anda menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh guru.  Contohnya, perbincangan kumpulan dan kerja amali.   Melalui cara ini sebenarnya dapat mengukuhkan pemahaman dan ingatan anda semua terhadap sesuatu pelajaran.


Sekian, sehingga bertemu lagi di "posting" yang akan datang.  Selamat maju jaya.


Kredit : Dewan Pelajar

19 Feb 2017

CARA-CARA MENINGKATKAN PENCAPAIAN DALAM PEPERIKSAAN (UPSR)

gambar hiasan

Selamat belajar pelajar-pelajar semua!  Pernahkah anda mendapat keputusan peperiksaan yang kurang membanggakan?   Contohnya mendapat gred C atau D? Kami akan berkongsi dengan anda faktor yang menyebabkan pelajar-pelajar mendapat markah rendah dalam peperiksaan :-


1. Kurang ulang kaji.

Pelajar-pelajar tidak dapat mengingat dengan baik isi pelajaran yang telah dipelajari jika kurang ulangkaji.


2. Tidak faham dan tidak mengingati isi pelajaran

Jika ini berlaku, pelajar-pelajar akan sukar untuk memanggil kembali atau mengimbas isi pelajaran tersebut bagi menjawab soalan peperiksaan.


3.  Tidak tahu teknik menjawab soalan yang betul.

Pelajar-pelajar, pada kebiasaannya mereka yang mendapat markah yang rendah adalah disebabkan mereka tidak memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh soalan.  Oleh itu, pelajar-pelajar perlu memahami soalan dan menguasai teknik menjawab soalan yang betul.


4.  Lemah dalam penulisan jawapan.

Bagi soalan struktur, pelajar-pelajar akan mendapat markah yang rendah sekiranya tidak dapat menulis jawapan dengan  lengkap seperti yang dikehendaki oleh soalan.


5.  Lemah dalam mengarang.

Dalam peperiksaan UPSR, pelajar-pelajar dikehendaki membuat karangan bagi kertas Bahasa Melayu (Penulisan) dan Bahasa Inggeris.  Pelajar-pelajar akan mendapat markah yang rendah, sekiranya mengarang tidak mengikut format seperti yang dikehendaki oleh soalan.


6. Kesilapan teknikal

Antara kesilapan teknikal yang sering dilakukan oleh calon peperiksaan yang menyebabkan mereka mendapat keputusan kurang cermelang ialah:

a.  Salah ejaan

b.  Tulisan tidak kemas seperti "cakar ayam".

c.  Salah menulis nombor soalan dan jawapan.

d.  Tidak menulis nama dan angka giliran pada kertas jawapan.

e.  Tidak menghitamkan kertas jawapan OMR dengan sempurna.

f.  Tidak mengikat kertas soalan dan jawapan dengan kemas.


7.  Masalah peribadi

Masalah peribadi yang dihadapi oleh seseorang calon peperiksaan turut mempengaruhi semangat dan keyakinannya.  Hal ini demikian kerana mereka tidak akan dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya untuk menjawab soalan peperiksaan.


Setelah mengetahui faktor yang menyebabkan para pelajar boleh mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan, ayuh kita ubah strategi dan teknik pembelajaran masing-masing.  Janganlah anda semua menjadi seperti kata pepatah, "sudah terhantuk, baru terngadah".  

Jumpa lagi di "posting" yang seterusnya.  Selamat maju jaya untuk anda semua.


Credit to Majalah Dewan Pelajar.